Permulaan

Aku buang tebiat memulakan satu lagi blog untuk entah kali ke berapa. Mungkin ini natijah keterdesakan untuk mengisi lompong-lompong hidup di negara orang, jauh dari keluarga, sahabat handai, tanpa sebuah pekerjaan. Baru setahun setengah yang lalu aku menggenggam ijazah kedua dari Australia. Masa depan dalam kerjaya kelihatan sungguh cerah dengan limpahan peluang dan kepercayaan yang diberikan. Biarpun pada waktu itu aku sering rasa tertekan (dengan manusia, bukan kerja) dan mengeluh – kadangkala ada juga timbul rasa rindu.

‘Ini semua hanyalah sementara. Kali ini aku berkorban untuk kerjaya suami. Esok lusa, giliran dia’. Kadang-kadang aku bercakap dengan diri sendiri di hadapan cermin “You are good , you have a Master’s from Melbourne Uni. Don’t ever forget that”

Tiga kali seminggu aku pergi ke kelas Bahasa Sepanyol. Aku terus melangkau ke Tahap Asas 3 berdasarkan keputusan peperiksaan masuk (entrance exam)  – kurang satu Tahap Asas sebelum layak ke Tahap Pertengahan (Intermediate level). Sesuatu yang mengagumkan bagi kebanyakan orang, tapi aku sedikit hampa. Setahun sebelum berpindah ke Mexico, aku habiskan kebanyakan hujung minggu untuk belajar Bahasa Sepanyol dengan seorang tutor peribadi (mahal gila!). Tiada siapa yang boleh dipersalahkan melainkan diri aku sendiri. Tapi aku tetap tak suka tiap kali si suami ingatkan aku untuk berlatih dengan Duolingo. Kalau terlupa satu hari untuk buat Duolingo, terus dapat kosong streak balik. Jadi aku pun whaiboder.

Minggu ini lebih lengang daripada biasa. Kota Mexico seperti Kuala Lumpur pada hari raya pertama kerana perayaan Semana Santa atau lebih dikenali sebagai Easter di kebanyakan negara barat. Kebanyakan pejabat memberikan cuti separuh hari untuk hari ini (Khamis) mungkin untuk menghormati sambutan Good Friday esok.

Sambutan Semana Santa sangat-sangat meriah dan hangat di Mexico berbanding Easter di Australia (aku pernah menetap di Australia selama enam tahun sebelum ini). Perarakan demi perarakan bermula semenjak Ahad lepas yang juga dikenali sebagai Domingo de Ramos (Palm Sunday) – hari di mana sejarah kedatangan Jesus ke Jerusalem disambut. Kemudian, pada hari kelima minggu yang mulia (holy week) iaitu pada hari Khamis, mereka menyambut Jueves Santo (Maundy Thursday) bagi memperingati makan tengah malam terakhir Jesus bersama pengikut-pengikutnya.

Esok, aku dan suami mungkin berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat sambutan Good Friday di salah sebuah kota terindah di negara ini, Guanajuato. Pada hari Sabtu, kami akan bermusafir pula ke kota warisan UNESCO yang dikenali sebagai San Miguel de Allende. Di sana kami akan menyaksikan sendiri bagaimana penduduk Mexico memperingati  Sabado Santo (Holy Saturday)  – hari Judas dipercayai ‘dibakar’ dan tubuh Jesus dikebumikan..Katanya pada hari tersebut mereka membakar patung-patung Judas dengan mercun atau obor. Lawatan sambil belajar ini juga tidak akan lengkap sekiranya kami tidak menimba pengalaman Domingo de Pascua (Easter Sunday) di kota Katolik tersebut.

Bak kata pepatah, jauh perjalanan luas pandangan.Alhamdulillah, aku dikurniakan rezeki untuk hidup di negara orang. Aku sedar ianya satu kemewahan buat kebanyakan orang. Seharusnya aku tidak mensia-siakan peluang ini untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan orang lain.

Aku teringat kata-kata naqibah usrah aku dulu “Ilmu ini ibarat air dari tempat yang tinggi. Ia senang mengalir ke lembah yang rendah”. Kalau kita nak tambah ilmu, kita perlu merendahkan diri. Bukan setakat dengan ustaz dan ustazah sahaja, bahkan paderi, sami, pemandu, peminta sedekah, pendek kata seluruh masyarakat setempat biar ke pelusuk dunia mana pun kita pergi. Lepaskan segala kongkongan pemikiran dan kebiasaan diri sendiri – kita akan melihat dunia dengan pandangan yang berbeza. Jika tidak, keluar masuk 100 negara pun perangai tetap sama. Bodohnya pun sama.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s