Dua Tahun

Lapan hari berlalu semenjak tulisan aku yang pertama. Ternyata, menulis sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia lebih sukar daripada yang dijangka. Kenapa tak tulis dalam Bahasa Inggeris je? Mungkin sebab dah ramai bintang-bintang instafamous yang menulis blog atau vlog dalam Bahasa Inggeris. Jadi, biarlah Kak Kiah yang tak berapa masyhur ni cuba menulis dalam Bahasa Malaysia. Lagipun, Bahasa Inggeris Kak Kiah takdelah ‘power’ mana. Setakat masuk pusingan akhir Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris Piala Perdana Menteri peringkat kebangsaan je (ewaaah!).

Alkisahnya, pada hari Isnin yang lalu genaplah dua tahun Kak Kiah bergelar Mrs. Tan secara rasmi. Namun, tulisan ini bukanlah satu surat cinta yang ingin didedikasikan kepada sang suami tersayang. Bahkan, tulisan ini khas dicoretkan buat sahabat handai yang telah bertungkus-lumus berhempas pulas untuk memastikan impian kami terlaksana. Dua tahun aku simpan suka-duka di sebalik hari bersejarah itu demi menghormati dan menjaga kehormatan serta sensitiviti keluarga suami. Kini, izinkanlah hati aku berbicara walau sedikit cuma.

Apabila orang bercakap tentang ‘kahwin campur’ (cth: Cina kahwin India, India kahwin Melayu) di Malaysia, kebanyakan orang akan membayangkan pasangan Marion Caunter dan SM Nasarudin atau Harith Iskander dan Jezamine Lim. Majlisnya meriah dan indah dengan kacukan budaya. Sanak saudara bergilir-gilir mengenakan pakaian tradisi keluarga ‘sebelah’. Malah, ada yang bersorak kerana dengan perkahwinan tersebut ‘keluarga Islam semakin bertambah’ (jujurnya aku kurang selesa dengan reaksi sedemikian) . Namun itu semua jauh panggang dari api buat aku dan suami. Setelah sekian lama soal agama dan perkauman menjadi modal politik di Malaysia, akhirnya kehidupan peribadi kami menjadi mangsa.

Teman-teman serumah yang sentiasa berada di sisi memberikan sokongan, nasihat dan bimbingan tatkala ahli keluarga jauh di mata.

Biar apa pun sangkaan terhadap aku yang nyatanya tidak benar, aku sentiasa mengingatkan diri untuk meletakkan diriku di tempat keluarga mertuaku. Aku akui, undang-undang syariah di Malaysia sentiasa berat sebelah dan tidak berlaku adil kepada mereka yang bukan beragama Islam. Baru-baru ini, aku mendapat tahu bahawa ahli keluarga yang bukan beragama Islam dikira sebagai ‘non-entity’ dalam pembahagian harta secara faraid di Malaysia. Sesuatu yang amat menjelekkan. Sehingga ke saat ini, darahku mendidih memikirkan hal ini. Bagaimana kita boleh mendabik dada mengatakan Islam itu adil buat semua sedangkan apa yang dilaksanakan oleh institusi agama itu sendiri tidak prihatin terhadap hak dan kebajikan ahli keluarga semata-mata kerana perbezaan agama? Itu belum masuk segala polisi kerajaan yang meletakkan kaum bukan Bumiputera sebagai warganegara kelas kedua. Satu konsep lapuk yang sepatutnya tidak lagi relevan bagi sebuah negara yang dibangunkan oleh masyarakat majmuk semenjak awal penubuhannya. Ringkasnya, aku faham sumber kemarahan dan kekecewaan keluarga mertua. Aku seorang manusia kerdil, tidak akan mampu melawan tebalnya prejudis hasil daripada ketidakadilan yang mereka hadapi selama berpuluh-puluh tahun. Aku mengingatkan diri dan suami untuk bersabar.

“Kita bertuah, berpeluang mendapat pendidikan dan kesedaran tentang buruknya pemikiran perkauman dan pentingnya keadilan sosial “

Setiap kesukaran yang kami hadapi selama ini hanya menguatkan lagi azam dan usaha untuk menolak segala bentuk diskriminasi dan ketidakadilan. Baik atas dasar agama, kaum mahupun orientasi seksual.

Apabila kita telah menjadi mangsa prejudis antara kaum, sepatutnya kita lebih memahami dan menolak segala bentuk diskriminasi di dunia ini.

Dua tahun yang kami tempuh sebagai pasangan suami isteri bermula dengan pengorbanan banyak pihak. Pertama, kedua ibu-bapaku dengan redha mengabulkan permohonan kami untuk bernikah di luar negara dalam satu majlis tertutup. Kedua, sahabat handai yang dikasihi dengan sukarela dan murah hati menghulurkan bantuan bagi segala persiapan. Pada ketika itu, dua di antara mereka sedang hamil anak pertama. Ketiga, para tetamu seramai 56 orang dengan penuh hormat memenuhi permintaan agar tidak memuatnaik atau menggembar-gemburkan berita pernikahan kami. Semuanya kami lakukan demi menjaga hati dan perasaan keluarga mertua yang masih memerlukan masa untuk menerima seseorang yang berlainan agama dan budaya. Biar apa pun yang terjadi, aku tetap akan mengasihi dan menghormati segala tuntutan keluarga suami. Meskipun ada kalanya aku tewas dengan air mata dan tekanan perasaan.

Orang-orang kuat di sebalik tabir

Sehingga hari ini, aku masih tak mampu untuk memuatnaik gambar perkahwinan kami secara terbuka. Yelah, siapa tak mahu berkongsi kegembiraan hari tersebut kan? Tapi, inilah hakikat hidup yang telah aku pilih. Dari benua ke benua kami merantau mencari ruang demi secubit kebahagiaan dan mengumpul kekuatan. Sehingga akhirnya aku meletakkan jawatan – hanya setahun setengah selepas menamatkan Ijazah Sarjana – untuk berhijrah bersama suami ke bumi Latin, Mexico.

Gambar ini tidak akan terhasil tanpa sokongan dan bantuan daripada semua yang menjayakan misi pernikahan kami
Empat buah negara dalam satu potret.

Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mungkin Tuhan memilih aku untuk menyampaikan sebuah cerita. Bahawa perbezaan di antara manusia itu cuma pada zahirnya sahaja. Sedang dalam batinnya, semuanya sama. Naluri, hak mahupun keperluan asasnya tiada beza. Asalkan manusia itu tidak mendahulukan ego dan kepentingan dirinya sahaja. Dua tahun ini, aku mengenal erti pengorbanan dan kesabaran. Dalam dua tahun ini juga aku semakin percaya bahawa dunia ini akan lebih indah dan aman hanya jika kita mahu menghayati nilai-nilai kemanusiaan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s