Minoriti Muslim di Kota Mexico

Tulisan ini pada asalnya telah disiapkan pada 22 Mac 2019.

Jumaat, 15 Mac 2019, Mexico City.

Logik akal mengatakan jangan ke masjid hari ini.

Fajar Jumaat baru sahaja menyingsing di kota ini sedang umat Islam di Malaysia bersiap untuk solat Maghrib. Kami dikejutkan dengan berita keganasan yang berlaku di sebuah masjid di New Zealand. Bertalu-talu mesej diterima daripada sahabat handai Muslim lain yang menetap di Australia. Ketakutan sekali lagi membayangi hidup mereka. Sekali lagi mereka diingatkan bahawa mereka tidak diingini atas dasar rupa dan pegangan agama. Seolah-olah satu hakikat yang tidak akan berubah, golongan minoriti terus menjadi tumpuan kebencian dan salah faham. 

Semenjak aku tiba di kota Mexico City sebulan yang lalu, aku dan suami cuba untuk menghadiri solat Jumaat setiap minggu. Tiada kubah atau menara yang menjadi mercu tanda biasa sebuah masjid di kebanyakan tempat. Cuma blok dua tingkat di antara rumah dan kedai-kedai yang menjadi tempat perhimpunan masyarakat Muslim tempatan. Ini sebenarnya bukanlah pengalaman yang baru untuk aku. Sebelum ini, aku pernah menetap di Australia dan menjadi sebahagian daripada masyarakat minoriti Islam, namun aku tidak menyangka yang aku akan hidup dalam komuniti Islam yang jauh lebih kecil daripada itu. Menurut bancian National Institute of Statistics and Geography, seramai 2,500 penduduk menyatakan bahawa Islam adalah agama mereka dan aku anggarkan kurang daripada 5 peratus tinggal di sekitar kotaraya ini. Walaupun aku sekeluarga baru sahaja sampai di sini, tetapi kami sudah mampu mengenali wajah-wajah ahli qariah yang aktif di sini.

Aku berkira-kira untuk membatalkan hasrat ke masjid demi keselamatan tetapi entah kenapa hati aku membantah. Kebetulan suami juga tidak dapat ke masjid hari ini kerana terdapat urusan kerja yang tidak dapat dielakkan. Biarpun masih belum betul-betul mengenali selok-belok kota, aku bertekad untuk ke masjid. Aku kira umat Islam minoriti semua dalam ketakutan. Sekurang-kurangnya aku perlu memberikan sokongan moral. Keganasan dilakukan untuk membuatkan kita tunduk dalam kehampaan dan melupakan asas peri kemanusiaan. Aku tidak boleh membenarkan keganasan menewaskan diri. Berbekalkan keupayaan berbahasa Sepanyol yang sangat terbatas, aku memulakan perjalanan seorang diri ke masjid menaiki Uber. Encik Gonzalo sangat peramah dan melayan aku dengan baik sekali di sepanjang perjalanan walaupun kami seolah-olah ayam dan itik berborak.

Setibanya aku di masjid, khutbah dalam Bahasa Arab telah pun bermula. Khatib sedang berbicara tentang tragedi keganasan di New Zealand. Aku terus menyertai jemaah wanita untuk mendengar khutbah. Wanita di hadapan aku sedang menangis dan ditenangkan oleh seorang jemaah. Di sudut lain, beberapa jemaah sedang mengangkat tangan memanjatkan doa. Sekali-sekala aku melemparkan senyuman dan memperkenalkan diri kepada sesiapa yang sudi. Solat jenazah untuk mangsa keganasan didirikan usai dua rakaat solat Jumaat. Tidak lama kemudian seorang wanita dalam lingkungan umur 40-an mendekati.

Suasana masjid di tengah Kota Mexico sewaktu khutbah Jumaat

 “Hablas Ingles o Español?” aku cuba bertanya.

“Don’t worry sister, you can speak English with me..” aku patut berasa lega tetapi jauh di lubuk hati sedikit bimbang aku akan selesa dan tidak berusaha untuk meningkatkan kemahiran bahasa Sepanyol. Aku bertanya bagaimana aku dan suami boleh betul-betul membantu komuniti Islam di sini. Saudari Basmamempelawa untuk memperkenalkan aku kepada ketua masjid. Malangnya aku telah menempah Uber untuk pulang kerana berjanji dengan suami bahawa aku akan pulang secepat mungkin. Aku menyimpan nombor telefon beliau dan berjanji untuk menghubunginya.

Dalam perjalanan pulang, suami bertanya melalui Whatsapp

“Khutbah hari ini tentang apa?”

“Hablar bien con otras personas” yang bermaksud berkata baik sesama manusia. Tidak kira siapa pun mereka.

Sesuatu yang aku sangat hargai tentang dakwah di negara ini adalah tiadanya ungkapan dan dayah tentang ‘musuh Islam’. Pernah khatib menyebut tentang gereja dan masyarakat Kristian dalam khutbahnya untuk menerangkan persamaan dan pengajaran. Bukan untuk membandingkan siapa yang lebih benar atau lebih bagus, jauh sekali daripada tabiat mencipta jurang ‘mereka’ berbanding ‘kita’ (us vs. them) yang lazim aku dapati dalam ceramah dan kuliah agama di Malaysia. Mungkin sebagai masyarakat minoriti mereka sentiasa merasa diperhatikan ibarat insan yang datang tanpa diundang. Walaupun tidak ditulis besar-besar dalam dokumen pengenalan diri mereka, mereka tahu terdapat rasa gelisah terhadap mereka hasil tanggapan yang dibawa media. Islam itu ganas, Islam itu membenci kebebasan, Islam mahu menguasai orang bukan Islam, ini semuanya subteks yang menjadi latar hidup seharian di sini. Bukankah sebagai umat manusia kita mempunyai tanggungjawab untuk cuba memahami dan menjaga kebajikan satu sama lain?

Kata-kata mempengaruhi pemikiran dan perilaku manusia.

Seringkali kami ditemuramah oleh wartawan dan pelbagai individu lantaran penampilan dan rupa kami yang berbeza. Mereka lebih teruja apabila kami memilih untuk bercakap dalam Bahasa Sepanyol dan bukan Bahasa Inggeris.

Aku akui, ini bukan kali pertama aku memikirkan akan hal ini, dan mempersoalkan mengapa di Malaysia, Islam yang disampaikan bersikap mencengkam tetapi di tempat lain, Islam boleh bersifat menenang. Apakah kita di Malaysia sebagai majoriti berpandangan bahawa kelembutan itu hanya perlu di saat kita lemah dan tanpa kuasa, atau kerana kita terus berpandangan bahawa kita terus kekal lemah? Bagi Allahlah segala kekuasaan di langit dan di bumi, dan kita disuruh bertaqwa supaya ingat bahawa segala apa yang kita ada harus disyukuri, dan digunakan dalam usaha kita untuk menyebar kebaikan dan cinta di dunia. Itulah ertinya dinobat sebagai Khalifah Allah di bumi, bukannya sebagi penguasa, tetapi sebagai pemegang tanggungjawab yang perlu berkhidmat untuk seluruh umat manusia.

Tito Fuentes, vokalis kumpulan Molotov yang cukup terkenal di benua Latin Amerika memuatnaik gambar bersama aku dan suami di laman instagram rasmi album beliau. Bukan itu sahaja, malahan beliau bersungguh-sungguh untuk belajar Bahasa Melayu dengan kami berdua.

Apa yang berlaku di New Zealand boleh berlaku di Malaysia sekiranya kita terus lantang memomok-momokkan kesangsian dan prejudis antara kaum dan agama. Sekiranya kumpulan berhaluan kanan di negara barat merasakan umat Islam dan migran (adalah satu kelompok) tidak sepatutnya berada di negara mereka, fikirkanlah siapa yang melakukan seumpama itu di Malaysia? Yang galak melabel siapa ‘kafir harbi’ yang layak diperang dan siapa bukan? Yang menghalalkan darah sesetengah manusia dibunuh? Yang tanpa segan silu menyatakan sesetengah golongan layak dipinggirkan? Inilah benih-benih kebencian yang memotivasikan keganasan. Bagaimana kita boleh sujud lima kali sehari di hadapan Tuhan, tetapi bongkak dan angkuh atas nama agamanya? Pertarungan di dunia ini bukan di antara Islam dan bukan Islam. Tetapi di antara kedamaian dan keganasan. Ketamakan dan kemurahan hati. Kepandaian dan kebodohan. Berapa kali dalam Al-Quran Tuhan menyebut, “dan jadilah kamu orang-orang yang berfikir?”.

Aku mengucapkan terima kasih kepada Juan Israel sejurus beliau memberhentikan kereta di hadapan kompleks kediaman kami. Kata-kata suami sebelum aku berangkat ke masjid masih lagi terngiang-ngiang di cuping telinga.

            “Kita minoriti di sini, kecil mana pun pertolongan kita, ia bermakna (untuk komuniti)”.

Sejujurnya aku sebak. Sebagai seorang Melayu Islam di Malaysia, sekurang-kurangnya aku pernah menikmati peluang dan kesenangan hidup sebagai masyarakat majoriti. Suami aku seorang muallaf berbangsa Cina yang hanya reti bertutur dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris, adalah seorang minoriti seumur hidup tidak kira di mana pun beliau berada. Maka nikmat tuhan yang mana lagikah yang kita mahu nafikan?

Seminggu selepas berita keganasan di Christchurch, kita dikejutkan dengan khabar sedih pemergian Muhammad Haziq. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan semoga ini korban keganasan terakhir yang kita ratapi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s