Tukar Agama

Salah seorang teman serumah bertanya ¨Macam mana kita nak jawab kalau orang tanya, kenapa pasangan kita kena masuk Islam? Kenapa bukan kita yang masuk agama mereka?¨

Kalau nak ikut jawapan skema Pencetus Ummah, “Kita kena yakin bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar. Kalau kita sayangkan sahabat kita, kita perlu tarik mereka ke dalam Islam”. Dalam erti kata lain, kita hendaklah menjadi wira yang menyelamatkan orang lain yang dianggap dalam ‘kesesatan’. Nampak dan bunyi seperti kita ingin melakukan kebaikan. Namun apa yang kita tidak sedar, kita sedang memperlekehkan kepercayaan orang lain dan menyinggung perasaan penganut agama bukan Islam. Pada aku, sikap seperti ini adalah biadab dan ‘ujub (mengagumi diri sendiri) yang hanya menambahkan rasa jelek manusia terhadap dakwah Islam.

” Satu perkara yang kita orang Islam kena sedar adalah, orang agama lain seperti Animisme, Kristian, Hindu, Sikh, Buddha dan seumpamanya juga sayangkan Tuhan dan amalannya – sepertimana kita tidak boleh berpisah dengan Allah dan Islam… “

Sebenarnya, persoalan itu telah lama menghuni kotak fikiran dan aku jelas dengan pendirian sendiri. Tetapi, aku sedikit gementar untuk meluahkannya ke dalam kata-kata yang boleh didengar dan dirakam. Bagaimana jika maksud tersimpang di telinga pendengar? ¨Soalan tu lebih senang untuk dijawab jika kita betul-betul ada kebebasan beragama di Malaysia. Satu perkara yang kita orang Islam kena sedar adalah, orang agama lain seperti Animisme, Kristian, Hindu, Sikh, Buddha dan seumpamanya juga sayangkan Tuhan dan amalannya – sepertimana kita tidak boleh berpisah dengan Allah dan Islam…” aku berhenti seketika untuk membaca riak wajah teman. Beliau hanya mengangguk seperti memberi izin untuk aku meneruskan hujah.

“Apabila satu pasangan berlainan agama ingin membina hidup bersama, mereka berhadapan dengan satu konflik dalaman di mana keperluan emosi mereka terhalang atau bertentangan dengan keperluan rohani. Hanya mereka yang tahu dan layak untuk menentukan tindakan seterusnya kerana kesan dan beban mental, emosi dan rohani daripada keputusan tersebut akan ditanggung oleh mereka sahaja. Dalam situasi yang ideal, pasangan tersebut mempunyai beberapa pilihan; pertama, kedua-dua individu tersebut mengekalkan kepercayaan masing-masing dan membina keluarga berbilang agama; kedua, salah seorang daripada mereka MENGORBANKAN kepercayaannya samada dengan rela atau tidak untuk memeluk agama pasangannya, dan; ketiga, mereka berpisah dan membawa haluan masing-masing demi cinta mereka yang lebih agung yakni Tuhan dan agama masing-masing”.

Melayan suami berceloteh betapa sedapnya babi panggang.

Dalam situasi yang ideal, pasangan tersebut mempunyai beberapa pilihan; pertama, kedua-dua individu tersebut mengekalkan kepercayaan masing-masing dan membina keluarga berbilang agama; kedua, salah seorang daripada mereka MENGORBANKAN kepercayaannya samada dengan rela atau tidak untuk memeluk agama pasangannya, dan; ketiga, mereka berpisah dan membawa haluan berasingan demi cinta mereka yang lebih agung yakni Tuhan dan agama masing-masing”.

Tetapi, realiti yang dihadapi oleh pasangan berbilang agama di Malaysia adalah mereka hanya ada dua pilihan. Samada yang bukan Islam memeluk Islam atau mereka menguburkan sahaja impian hidup bersama.

“Banyak masalah berkaitan penukaran agama di Malaysia berpunca daripada undang-undang yang bersifat berat sebelah dan hanya melebihkan umat Islam. Sudahlah kerajaan masuk campur urusan peribadi (agama dan keluarga) ditambah pula dengan ketidakadilannya. Sebab itulah keluarga bukan Islam di Malaysia lebih takut untuk menerima menantu beragama Islam berbanding dengan di sini (Australia pada waktu itu), di mana keluarga bukan Islam lebih terbuka untuk menerima seorang Muslim sebagai ahli keluarga” aku menutup kata.


Kenapa pasangan yang bukan Islam MESTI memeluk Islam dan tidak sebaliknya?

Jika dilihat daripada perspektif majoriti masyarakat Islam di Malaysia, murtad atau keluar agama Islam adalah satu kesalahan yang boleh dihukum bunuh. Pandangan ini selari dengan pandangan ulama terdahulu sedang ulama kontemporari berpendapat bahawa tiada hukuman khusus untuk murtad. Dari sudut perundangan pula, menurut artikel bertajuk ‘Kedudukan Murtad Menurut Perspektif Undang-Undang di Malaysia’;

Jenayah murtad tidak disebut di dalam enakmen kesalahan jenayah Syariah di kebanyakan negeri di Malaysia. Namun demikian, terdapat peruntukan kesalahan keluar agama Islam diguna pakai di beberapa buah negeri. Tidak terdapat penggunaan istilah kesalahan murtad yang diperuntukkan oleh mana-mana enakmen jenayah syariah negeri-negeri melainkan undang-undang hudud, qisas dan takzir yang cuba dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu satu ketika dulu

Zulkifli Hasan dan Norfadhilah Mohd Ali

Kes permohonan keluar Islam tidak akan dapat lari daripada perhatian dan pengadilan umum khususnya masyarakat Muslim. Lihat sahaja kes Lina Joy yang telah menjadi modal gerakan Islamis untuk menakutkan umat Islam dan mendorong tindakan kerajaan yang mencengkam kehidupan peribadi rakyat sehingga tiada seorang pun boleh berasa selamat sekiranya mereka ingin menukar status agama Islam kepada yang lain. Menyedari hakikat semua ini, kebanyakan pasangan akan akur mengikut prosedur majlis dan jabatan agama. Tidak kurang juga ada yang menjadi Muslim oportunis – contohnya memeluk Islam untuk memenangi hak penjagaan anak di mahkamah.

“Tak apalah, inshaAllah ganjaran yang besar untuk mereka yang berkorban di jalan Allah” kata si pendakwah yang sudah beranak-pinak memujuk teman yang terpaksa melupakan hasrat untuk bersama dengan pasangan bukan Islam. Ringannya lidah menggunakan perkataan ‘korban’. Sedang mereka lazat berjimak setiap malam dan meramaikan umat, orang lain menanggung perit sakitnya pengorbanan.

Tiada paksaan dalam Islam

Setiap manusia mempunyai pengalaman rohani yang berbeza. Sesuatu yang berharga buat kita mungkin tidak memberi apa-apa makna kepada orang lain. Begitu juga sebaliknya. Pada aku, memaksa orang lain untuk percaya dan memandang sesuatu perkara dengan pandangan yang sama dengan kita adalah perbuatan yang angkuh dan dangkal. Sewaktu semangat Islamis aku masih membara sekalipun aku selalu berpesan “Islam itu agama yang benar buat aku, kita. Mungkin tidak buat orang lain”. Aku sama sekali tidak boleh menerima orang Islam bermegah samada secara terang-terangan atau berkias bahawa Islam satu-satunya agama yang sempurna dan agama lain semuanya sesat. Islam itu tidak menjadi cacat sekiranya kau tidak menyesatkan agama/orang lain.

Islam itu tidak menjadi cacat sekiranya kau tidak menyesatkan agama/orang lain

Kau ingat Islam je ada konsep ‘hidayah’? Kau ingat Islam je ada panduan hidup? Kau ingat agama lain tak percaya Tuhan yang sama? Apa yang kau betul-betul faham tentang agama lain? Pernah kau kaji sedalam-dalamnya? Atau kau hanya mengulang hujah yang kau kutip daripada tok-tok guru kau sahaja?

Hubungan aku dan suami mula rapat selepas satu perbualan yang tidak diduga tentang agama dan perjalanan rohani. Buat pertama kali dalam hidup, aku rasa bebas daripada dihukum dalam menjelaskan pandangan aku yang sebenar berkaitan perkara agama. Aku tidak teruja untuk terus mengajak suami memeluk Islam demi #donedakwah. Malah, aku menawarkan untuk mempertemukan suami dengan seorang sahabat Kristian yang kuat agama. Pada aku, biarlah dia menikmati segala kebebasan untuk mendalami dan mungkin memeluk agama lain selain daripada Islam kerana sejurus sahaja memeluk Islam, there is no turning back. Aku berdoa setiap hari agar diberikan keikhlasan oleh Allah untuk membantu perjalanan rohaninya mengikut kehendaknya dan bukan mengikut kepentingan aku sendiri.

Walaupun aku percaya keluarga yang berbilang agama adalah suatu yang sangat positif, aku secara peribadi tidak mampu untuk melakukannya. Dari kecil aku sangat teruja dengan segala ilmu Islam. Aku sangat suka dan mudah untuk mengafal ayat-ayat Al-Quran sedangkan rakan-rakan sebaya masih bertatih untuk mengkhatamkan kitab suci itu. Sayangnya aku pada Islam adalah sesuatu yang aku ingin kongsi dengan teman hidup. Jadi, apabila suami mula meluahkan perasaan terhadap aku – aku jadi serba salah. Aku tidak mahu menuntut agar dia memeluk Islam. Pada aku, biarlah dia memeluk Islam atas keyakinan dan kehendaknya sendiri. Setiap hari aku berdoa, sekiranya dia menjumpai ‘hidayah’ dan jawapannya tentang Tuhan daripada sesuatu selain Islam, maka permudahkanlah perpisahan itu dan berikanlah aku hati yang redha dan kuat.

Agama dan kepercayaan adalah perkara yang sangat sulit dan peribadi. Tiada seorang pun yang berhak untuk mempersoal atau mengubah agama dan kepercayaan seseorang melainkan tuan punya badan. Tapi, entah ke mana hilangnya adab sopan dan perasaan malu masyarakat Malaysia kini apabila melihat pasangan Islam dan bukan Islam terus sahaja bertanya “Bila dia nak masuk Islam?”. Kadang-kadang mereka dengan selamba bertanya di hadapan rakan-rakan bukan Islam yang lain. Cubalah kita fikir sejenak bagaimana jika ada yang bertanya “Bila dia nak keluar Islam?”. Apakah reaksi kita? Agaknya berjela-jela #tarbiyahsentap yang akan diberi. Kenapa? kerana isu bertukar agama ini sensitif bukan? Kalau kita tidak suka orang lain buat kepada kita, kenapa kita tidak segan berbuat demikian kepada orang lain? Adakah dunia ini berputar di sekeliling diri kita sahaja? Adakah sebab kita orang Islam maka kita lebih berhak untuk campur tangan urusan agama orang lain? Indah ke Islam begitu?

Disebabkan kerangka undang-undang sediada dan sikap majoriti masyarakat Muslim di Malaysia tentang penukaran agama, maka lahirlah golongan yang sinis dan prejudis terhadap pasangan berbilang kaum di Malaysia. Aku sendiri ditempelak dan dituduh memaksa dan ‘menukar’ agama suami. Hakikatnya, kami bernikah di negara sekular di mana tiada undang-undang mewajibkan suami untuk memeluk Islam. Keputusan suami untuk memeluk Islam adalah seratus-peratus miliknya tanpa sebarang paksaan. Prosesnya amat mudah. Tiada pendaftaran dengan jabatan agama, tidak perlu menukar kad pengenalan dan tidak perlu menghadiri kelas wajib oleh badan-badan tertentu. Sister Sarah yang mengendalikan sesi tersebut tidak sibuk berceramah kepada suami. Sebaliknya beliau banyak menasihatkan aku untuk tidak mengubah identiti suami yang asal. Jangan sibuk suruh dia berhenti minum (suami tak minum arak pun sebelum Islam), atau beribadat. Rentak perjalanan rohani setiap individu itu berbeza dan kita mesti menghormatinya.

Pernah sekali kami bersembang tentang isu keluar Islam. Suami berkata “You tau tak, boleh jadi orang yang murtad tu berfikir tentang Tuhan lebih banyak daripada orang lain” aku terdiam sejenak dan betul-betul mengamati telahannya. Ada benarnya. Bukan senang untuk keluar agama Islam di Malaysia – kecaman masyarakat yang teramat dahsyat, institusi agama di kiri dan kanan, serta peruntukan undang-undang yang tidak bergitu jelas. Seseorang itu mesti sangat nekad dan mengambil risiko yang sangat tinggi untuk meninggalkan Islam.

Namun, reaksi yang selalu kita dengar apabila seseorang itu murtad adalah “mereka ini tidak betul-betul faham Islam”, “Inilah akibat tidak belajar agama” atau “inilah kesan liberalisma”. Mudahkan untuk menyalahkan orang lain daripada mengubah persepsi sendiri? Kenapa kita boleh kagum dengan orang yang berusaha untuk mengenal Tuhan sehingga memeluk Islam tetapi kita pandang hina orang yang mengenal Tuhan melalui agama lain? Cukup, anda tidak perlu memetik segala ayat Al-Quran yang menerangkan kebenaran Islam kerana aku percaya tanpa ragu kesemuanya. Tetapi, boleh tak kita cuba berfikir sejenak kemungkinan-kemungkinan yang ada di minda dan hati orang lain yang tidak sama dengan kita? Boleh tak kita cuba untuk membuang takbur dan belajar untuk menghormati kepercayaan orang lain?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s