Peringatan

” Difundir la importancia de la tolerancia, la no violencia y los Derechos Humanos. Crear conciencia a través de la memoria histórica, particularmente a partir de los genocidios y otros crímenes. Alertar sobre el peligro de la indiferencia, la discriminación y la violencia para crear responsabilidad, respeto y conciencia en cada individuo que derive en la acción social”

Museo Memoria y Tolerancia

Menyebarkan kepentingan toleransi, kesan keganasan dan hak asasi manusia. Meningkatkan kesedaran melalui ingatan sejarah, khususnya berkaitan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah lain. Memberi peringatan tentang bahaya ketidakpedulian, diskriminasi dan keganasan demi mewujudkan kebertanggungjawaban, sifat saling menghormati dan kesedaran dalam setiap individu yang membawa kepada tindakan sosial.

Pada mulanya aku hairan, kenapa wujudnya sebuah Muzium yang didedikasikan khas bagi memperingati tragedi Holocaust di tengah-tengah kota Mexico? Bukankah kekejaman tersebut berlaku di Eropah? Apa kaitan Mexico dengan Holocaust? Demi memastikan bahawa segala persoalan aku terjawab, aku tanpa keberatan menyewa alat audio untuk terjemahan Bahasa Inggeris sebagai panduan di sepanjang lawatan aku ke Muzium Memorial dan Toleransi yang terletak di tengah-tengah Pusat Sejarah (Centro Historico) kota Mexico.

Kakitangan muzium mencadangkan agar aku bermula dengan dewan memorial di tingkat 5 yang dikenali sebagai ‘Sala de Memoria’. Video pengenalan yang dimainkan sejurus selepas melangkah masuk ke dewan tersebut sudah cukup untuk membangkitkan segala macam emosi dalam diri. Aku sedikit ralat kerana tidak berkesempatan untuk merakam satu frasa penting secara verbatim. Pada aku, ia sangat penting untuk dikongsi terutamanya dengan saudara-saudari rakyat Malaysia. Berdasarkan ingatan aku, frasa itu lebih kurang berbunyi begini

Aprender los genocidios para entender tolerancias

Belajar tentang penghapusan manusia / masyarakat (berdasarkan etnik, agama, puak dsb) untuk memahami toleransi. Di sudut lain, terdapat juga kata-kata seperti

Recordar para aprender; aprender para no repetir

Rakam untuk belajar; belajar untuk tidak mengulangi semula. Salah sebuah video yang dimainkan menyebut bahawa kita seringkali menilai keupayaan dan kemampuan manusia melalui pencapaian yang menakjubkan dari segi penciptaan dan teknologi yang dihasilkan sehingga kita terlupa bahawa manusia juga berupaya melakukan kekejaman yang amat dahsyat.

Pensisteman Kejahatan

Hampir 70 peratus daripada pameran di dewan memorial memperincikan kezaliman Holocaust. Bermula dengan penceritaan tentang Eropah sebelum Nazi diikuti dengan kebangkitan Hitler seterusnya peringkat demi peringkat penghapusan kaum Yahudi secara sistematik oleh rejim Nazi. Umum mengetahui kebobrokan ideologi dan kejahatan Hitler, sekarang. Namun, bagaimana seseorang sesakit itu pemikirannya berjaya diangkat sebagai pemimpin? Bagaimana rakyat boleh tunduk kepadanya dan membiarkan pembunuhan jiran, rakan sekerja, malah rakyat senegara sendiri?

Harga Kestabilan

Selepas tamat Perang Dunia Pertama, Jerman diselubungi krisis politik dan ekonomi yang belum pernah terjadi sebelumnya. Penubuhan Republik Weimar waima menjanjikan sistem yang demokratik, gagal untuk mengatasi masalah pengangguran dan kemiskinan. Lebih 6 juta penduduk Jerman tidak mempunyai pekerjaan. Rakyat hidup melarat dan kehilangan jati diri. Keyakinan terhadap kerajaan baru semakin hilang malah kebencian semakin membara. Bagai api dalam sekam, ucapan kebencian dan teori keunggulan kaum ciptaan Hitler disebarkan. Mungkin sahaja perut yang lapar itu hilang upaya untuk berfikir dengan rasional. Mungkin juga mereka berasa kurang malang sekiranya ada kambing hitam yang boleh dipersalahkan bagi segala kesusahan yang dihadapi. Maka, biarpun rata-rata masyarakat menyedari bahawa Hitler adalah seorang rasis, mereka tetap mengangkatnya sebagai seorang pemimpin. Nah, di sinilah bermulanya tragedi maha dahsyat dalam sejarah moden manusia. Hanya dengan, “tak apalah dia rasis, tapi dia seorang pemimpin yang hebat”, akhirnya berjuta-juta nyawa manusia tergadai hanya dalam beberapa tahun.

Bangsa Tulen; menghapuskan kumpulan minoriti yang dianggap bangsa rendah; menghapuskan kaum Yahudi kerana mereka subhuman; menghapuskan orang kelainan upaya kerana mereka adalah beban; menghapuskan orang Gipsi kerana mereka bangsa rendah; menghapuskan golongan homoseksual kerana mereka adalah pencemar darah; menghapuskan golongan saksi Yehuwa kerana mereka tidak tunduk; menghapuskan golongan intelektual kerana meracuni minda.

Persubahatan

Nazi mengubahsuai undang-undang bagi mengesahkan, malah menginstitusikan perbuatan diskriminasi. Pendek kata, segala pembezaan, pengasingan, penindasan dan pembunuhan yang dilakukan adalah sah di sisi undang-undang – bukan jenayah. Negara perkauman dicipta dengan membezakan bangsa yang unggul dan bangsa kelas kedua. Nazi percaya bahawa orang-orang Aryan Jerman adalah “bangsa yang unggul” dan “inferiors” (yakni golongan minoriti) adalah punca masalah yang menimpa negara. Mereka mengklasifikasikan manusia seperti berikut;

  • Yahudi, kerana mereka adalah subhuman;
  • Gipsi, orang kurang upaya dan homoseksual, kerana mereka dianggap sebagai ancaman kepada percambahan bangsa tulen Jerman;
  • Saksi Yehuwa, kerana tidak mengangkat senjata dan bersumpah kepada Hitler; dan
  • intelektual dan komunis (ye, tidak semua sosialis = komunis, dan sebaliknya), kerana cara pemikirannya tidak sepadan dengan rejim oleh itu, perlu dihapuskan.

Pembezaan dan pengasingan golongan minoriti yang disebutkan di atas tidak mungkin berjaya tanpa kerjasama dan sikap tidak peduli pelbagai pihak. Salah satunya, golongan profesional kesihatan yang bersekongkol menjalankan pemeriksaan fizikal bagi menentukan samada seseorang itu adalah bangsa yang diterima atau tidak. Persubahatan golongan ini tidak terhenti di situ, malah mereka menjalankan pensterilan (menghapuskan keupayaan untuk membiak) paksaan ke atas 250 hingga 300 ribu individu yang mempunyai kelainan upaya secara fizikal atau mental. Penghuni-penghuni kem tahanan termasuk kanak-kanak juga digunakan sebagai bahan uji untuk pelbagai eksperimen oleh para doktor dan saintis Nazi.

Teori Perkauman. Alat-alat pemeriksaan fizikal yang digunakan oleh Nazi bagi mengesahkan bangsa seseorang. Keputusan pemeriksaan menentukan klasifikasi serta nasib seseorang dalam masyarakat.
Pensterilan paksaan ke atas individu kelainan upaya. Kita selalu fikir bahawa keganasan hanya dilakukan oleh mereka yang tidak atau kurang berpendidikan. Namun, sejarah Holocaust menunjukkan bahawa penghapusan etnik besar-besaran ini turut dijayakan oleh kerjasama dan sikap tidak peduli golongan berpendidikan tinggi termasuk para doktor yang bersekongkol melakukan pelbagai prosedur yang tidak berperikemanusiaan.

Dalam masa 6 bulan, Nazi telah membunuh seramai satu juta tiga ratus ribu orang Yahudi. Pada mereka, kadar penghapusan itu tidak memuaskan kerana kurang efisien. Persidangan Wansee diadakan bagi mencari penyelesaian muktamad (lebih dikenali sebagai The Final Solution) penghapusan 11 juta Yahudi secara total. Seramai 15 orang lelaki ditugaskan untuk merangka dan memperbaiki pelan pemusnahan serta mewujudkan logistik pembunuhan yang merangkumi pembinaan kem pembasmian, ruang gas dan penggunaan gerabak lembu untuk mengangkut mangsa. Peserta persidangan dianggap sebagai “lelaki terbaik dan paling bijak dari Reich”. Lapan orang di antara mereka mempunyai tahap pengajian yang tinggi. Mereka merupakan pensyarah dan doktor dalam undang-undang, falsafah atau sains politik – membuktikan bahawa pendidikan, dengan sendirinya, tidak memberikan nilai-nilai etika. Ada kalanya, ilmu pengetahuan juga boleh menjadi senjata kejahatan dan kemusnahan.

Propaganda

Kuasa dan pengaruh propaganda terhadap masyarakat Jerman adalah asas untuk menjayakan rancangan rejim. Joseph Goebbels yang mengepalai Kementerian Propaganda, menguasai aliran maklumat awam melalui semua media massa bagi memastikan kedudukan parti dalam kuasa politik terjamin. Teori perkauman dan mesej anti-semitik tidak hanya disampaikan melalui retorik Hitler yang penuh nada dan isyarat, bahkan menjadi kandungan ucapan rasmi Jerman. Ia disebarkan tanpa henti melalui poster, risalah, radio, pawagam dan pelbagai forum awam sehingga ideologi perkauman tertanam – mempengaruhi sikap dan tindakan rakyat seluruhnya.

Tidak terhenti di situ, pendidikan, kebudayaan dan akhbar turut digunakan untuk mengukuhkan propaganda dan mengindoktrinasi penduduk tentang ideologi kaum. Gambar-gambar serta tulisan pendek dan sederhana yang memberi kesan emosi dimanfaatkan untuk meningkatkan populariti Hitler lantas mencetuskan semangat nasionalisme luar biasa. Editorial Parti Nazi, bersama-sama Universiti Marburg – diketuai oleh ahli falsafah Martin Heidegger – mencetak lebih daripada satu juta salinan Mein Kampf (Perjuangan Saya) termasuk versi Braille dan khas untuk pasangan baru berkahwin bagi mempromosikan nilai Aryan dan percambahan bangsa.

Tambahan pula, sistem komunikasi Reich menyediakan bahan visual dan audio untuk membentuk “kultus führer” di sekeliling penonton dan pendengar. Kemasyhuran Hitler berkembang disebabkan oleh populariti perarakan, perhimpunan dan peristiwa yang dilaporkan oleh radio atau dirakam dalam filem. Dengan menjadi tokoh yang terkenal, propaganda Nazi mewakili führer sebagai “askar yang bersedia untuk berperang, tokoh bapa dan sebagai pemimpin mesianik […]” yang dipilih oleh Tuhan untuk menyelamatkan Jerman. Rejim Nazi menghadiahkan satu juta radio kekerapan pendek yang hanya boleh menyiarkan perutusannya, supaya setiap keluarga Jerman dapat turut serta dalam mesejnya. Berbekalkan publisiti yang hebat; diwakili oleh simbol-simbol gah, imej yang berkaliber dan slogan-slogan mudah, Hitler berupaya memanipulasi kerentanan emosi orang ramai dan mengendalikan mereka pada kehendak. Antara 1933 dan 1938 Nazi berjaya membasmi demokrasi, menubuhkan negara polis, menindas kebebasan bersuara dan semua pembangkang politik. Angkatan tentera bersumpah kepada Adolf Hitler, dan tidak lagi kepada Perlembagaan. Diskriminasi dan keganasan disahkan oleh sistem undang-undang dan politik di mana jaminan dan hak beberapa minoriti dihapuskan.

Kambing Hitam

Oleh kerana orang Yahudi dikategorikan sebagai subhuman, mereka langsung tidak dipandang sebagai manusia. Mereka dilarang untuk masuk ke universiti, dibuang dari semua pejabat awam, dihalang daripada mengamal profesion seperti undang-undang dan tidak dibenarkan untuk mendapat kedudukan penting dalam politik atau badan-badan awam lain. Sehingga ke satu peringkat, hatta penggunaan bangku di taman atau menonton wayang di pawagam tidak dibenarkan untuk mereka. Memiliki haiwan peliharaan atau memasuki kedai yang tidak dibenarkan untuk orang Yahudi adalah satu jenayah yang boleh dihukum secara fizikal atau dihantar ke kem tahanan. Dalam masa beberapa bulan, para doktor berbangsa Yahudi hilang hak sebagai pengamal perubatan kerana Nazi percaya bahawa seorang doktor Yahudi boleh menjejaskan populasi “Aryan”.

Undang-undang sangat menghalang sebahagian besar penduduk Jerman dari berlegar di sekitar sinagog (tempat sembahyang agama Yahudi) kerana ia dianggap tempat yang berbahaya. Tindakan kerajaan berjaya menimbulkan perasaan takut yang kemudian menular di kalangan rakyat. Walaupun jauh di sudut minda dan hati mereka merasakan ketakutan itu tidak berasas, ketundukan kepada pemerintahan kuku besi telah membiarkan prejudis terus merebak dan mengakar dalam masyarakat. Sampai satu masa (yang agak singkat) mereka betul-betul percaya dengan teori perkauman Nazi yang menyatakan bahawa, orang Yahudi adalah “kulat beracun”. Bangsa Aryan perlu mengenalpasti parasit tersebut dan menghapuskannya sebelum ia menular dan merosakkan sektor-sektor lain.

Tanda pengenalan yang dipakaikan ke atas golongan minoriti terbuang di kem tahanan. Warna merah digunakan untuk tahanan politik; hijau untuk penjenayah profesional; biru untuk imigran; merah gelap untuk Saksi Yehuwa; merah jambu untuk homoseksual; hitam untuk ‘asosial’; perang untuk Gipsi. Orang-orang Yahudi diberi tanda pengenalan khas mengikut warna pengkelasan di atas (rujuk ‘Insignias Especiales’)

Anteseden

Holocaust bukanlah kejadian pembunuhan etnik beramai-ramai yang pertama dan tentunya bukan yang terakhir. Beberapa dekad sebelum Holocaust, Empayar Turki-Uthmaniyah terlebih dahulu cuba menghapuskan masyarakat Armenia di bawah pemerintahannya. Orang Armenia merupakan masyarakat Kristian pertama di dunia yang hidup di bawah Empayar Uthmaniyyah selama lebih dari 600 tahun. Mereka menonjol kerana kesetiaan mereka kepada pemerintah. Pada awal abad ke-20, ketegangan antara puak-puak politik dan agama mula timbul apabila beberapa kawasan Kristian Eropah merdeka daripada pemerintahan Uthmaniyyah. Apabila Rusia menyerang Empayar Uthmaniyyah sewaktu Perang Dunia Pertama, sekumpulan orang Armenia di Anatolia menyertai Rusia dengan harapan untuk mencari kemerdekaan. Dalam masa yang sama, pemberontakan Armenia berlaku di bandar Van memberikan alasan kepada kerajaan Uthmaniyyah untuk mengambil tindakan ke atas penduduk Armenia.

Walaupun hanya segelintir orang Armenia yang menyokong Rusia dan menjalankan kegiatan melawan Empayar, kerajaan memutuskan untuk membuang semua orang Armenia di rantau tersebut. Mereka mendakwa bahawa orang-orang Armenia itu anasir jahat yang mengundang bahaya kepada kestabilan kerajaan. Seluruh penduduk awam diseru untuk bekerjasama untuk ‘menghalang’ sebarang pemberontakan. Maka, berlangsunglah pengusiran besar-besaran yang dikenali sebagai Kafilah Kematian (Caravans of the Dead).

Kerajaan imperialis mempertahankan bahawa Kafilah Kematian itu adalah langkah terdesak dalam ‘zaman peperangan’ demi ‘kemaslahatan’ yang lebih utama iaitu ‘untuk melindungi penduduk’. Selepas beratus-ratus tahun hidup bersama, orang Armenia dijadikan kambing hitam dan dilabel sebagai ‘musuh provokatif’ yang berusaha memisahkan Empayar, menyokong perkembangan Rusia dan Inggeris.

Pelarian Armenia yang kebanyakannya adalah orang awam termasuk wanita, orang tua dan kanak-kanak berjalan kaki beribu-ribu batu tanpa mengetahui destinasi dan nasib yang bakal dituju. Dalam sekelip mata, mereka kehilangan rumah dan tanah. Kerajaan mengisytiharkan bahawa hartanah yang ditinggalkan adalah harta ‘terbengkalai’ sedangkan orang Armenia tidak meninggalkannya secara sukarela. Bahkan, segala kepunyaan mereka ditinggalkan untuk dibunuh perlahan-lahan di tengah padang jarak padang tekukur. Di samping itu, gereja-gereja, biara-biara dan bangunan-bangunan gereja lain dimusnahkan untuk memadamkan kehadiran Armenia di Turki sekarang.

Jalan raya yang dilalui pelarian itu dipenuhi dengan mayat. Ibu bapa hanya mampu berpegang kepada wajah anak-anak yang menangis untuk makanan dan air. Beberapa orang tua dan wanita meninggal dunia akibat wabak, kolera dan tifus. Ratusan ribu lagi mati akibat kelaparan, cuaca yang melampau dan keganasan. Padang pasir menjadi tanah perkuburan di mana beberapa mangsa yang selamat hanya mampu meratapi mayat saudara-mara yang mati. Sungguhpun ada yang berjaya berpindah ke Syria dan Iraq, mereka akhirnya dihapuskan.

Tentera Uthmaniyyah berketurunan Armenia yang telah pun memenuhi komitmen sivik dalam mempertahankan tanah air dijadikan tentera pekerja yang dikerah untuk membina jalan raya dan meluaskan laluan kereta api. Apabila tugas mereka selesai, mereka dibunuh di belakang konvoi tentera. Ramai yang lain ditembak di dalam parit yang dibina sendiri seperti yang diperintahkan dalam arahan ke-8 Surat Arahan Jawatankuasa Kesatuan dan Kemajuan (diterbitkan dalam akhbar Türkçe Istanbul) yang menyebut “Kami akan memusnahkan para lelaki dalam perkhidmatan tentera cara yang betul”.

Aku seperti dapat mendengar dan membaca tindak balas para Islamis di Malaysia sekiranya mereka membaca rentetan kezaliman dan kebobrokan Empayar Islam yang diagung-agungkan itu. Segala catatan sejarah yang tidak memenangkan moral umat Islam adalah fitnah bagi mereka. Pada mereka, sejahat-jahat pemerintah Islam itu lebih baik daripada yang bukan Islam. Pedulikan fakta dan nasib mangsa yang dibunuh dan dizalimi. Yang penting adalah takbir dan kalimah syahadah.

Wacana Yang Hilang

Aku tertanya-tanya mengapakah wacana berkaitan Holocaust seakan tidak wujud langsung di Malaysia? Perdana Menteri (PM) sendiri tanpa sekelumit penyesalan (mungkin juga dengan bangga) membuat ucapan bersifat anti-semitik di arena antarabangsa. Adakah solidariti bersama rakyat Palestin bererti kita harus membenci sekalian umat Yahudi dari dulu hingga kini? Adakah dengan memperingati mangsa-mangsa Holocaust bermakna kita menyokong rompakan dan penganiayaan ke atas rakyat Palestin oleh Zionis? Bahkan aku berhujah kita wajib memahami ketidakadilan dan kezaliman ke atas masyarakat Yahudi sewaktu Holocaust demi membela rakyat Palestin. Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization, UNESCO) amat menekankan agar sejarah Holocaust ini diajarkan kepada semua bagi mengelakkan kekejaman yang sama berulang. Never again. Itulah slogan yang sering berkumandang di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Namun, kita semua tahu penghapusan etnik atau kumpulan masyarakat tertentu masih lagi berlaku sepertimana yang sedang melanda Rohingya dan Darfur.

Kita sepatutnya mengambil iktibar daripada Holocaust terutamanya tentang bahaya prejudis, diskriminasi dan dehumanisasi samada dalam bentuk anti-semitik ataupun apa jua bentuk perkauman dan sikap tidak bertoleransi. Sepatutnya, kita sedar bagaimana institusi yang dipertanggungjawabkan untuk melindungi hak semua rakyat boleh menjadi senjata ampuh yang menindas golongan tertentu dalam masyarakat itu sendiri apabila ia ditunjangi oleh pemikiran yang sempit. Diskriminasi yang dilakukan dan digalakkan oleh institusi awam sekiranya tidak dipersoal dan dibantah, lama kelamaan akan membawa kepada kejahatan yang lebih buruk seperti dehumanisasi dan akhirnya penghapusan etnik atau komuniti tertentu. Selain itu, sejarah ini juga mendedahkan sifat dan tingkah laku manusia yang cenderung untuk mencari ‘kambing hitam’ untuk dipersalahkan demi mendapatkan jawapan mudah kepada masalah yang kompleks. Sikap simplistik ini memberi ruang yang subur bagi ideologi ekstrim untuk berkembang dan bercambah. Lantas, mereka mudah termakan hasutan kempen menakut-nakutkan masyarakat dan propaganda kebencian yang didorong oleh prejudis terhadap golongan tertentu. Disebabkan itu, rakyat terus bersekongkol dan menunjukkan sikap tidak peduli, atau indifference di hadapan kezaliman yang akhirnya meragut berjuta-juta nyawa begitu sahaja.

Mempelajari tentang Holocaust menyedarkan kita tentang peri penting menghidupkan nilai-nilai kemanusiaan yang melindungi dan memelihara kebebasan dan keadilan setiap individu dalam masyarakat. Aku yang kononnya banyak membaca dan celik sejarah serta krisis politik dunia seperti dikejutkan dengan kebodohan dan kejahilan sendiri. Betapa ceteknya pengetahuan aku tentang pembunuhan sistematik berjuta-juta manusia. Dosa mereka? Kerana dilahirkan dalam bangsa yang dianggap hina dan jahat. Kerana memiliki kelainan fizikal. Kerana mencintai jantina sejenis. Kerana berpegang kepada kepercayaan yang tidak diperkenankan oleh kerajaan. Sedangkan Tuhan selalu mengingatkan betapa berharganya nilai nyawa seseorang walau sesiapa pun jua.

…bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia tanpa (dia telah membunuh) manusia yang lain atau (kerana dia telah melakukan) kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya…

Surah Al-Ma’idah, ayat 32